Monday 24 August 2015

Aplikasi Teori Pembelajaran Behavioris, Kognitif. Konstruktivitis, Sosial dan Humanis

Aplikasi Teori Pembelajaran Behavioris, Kognitif. Konstruktivitis, Sosial dan Humanis

Aplikasi dan keberkesanan teori pembelajaran

Sememangnya setiap teori pembelajaran mempunyai kelebihannya yang tersendiri.  Bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang efektif, pelbagai implementasi yang boleh dilaksanakan bagi memantapkan keberkesanan pdp didalam bilik darjah.


Aplikasi dan keberkesanan teori pembelajaran behavioris

Keberkesanan teori behavioris dapat dilihat apabila guru telah bersedia menyediakan matlamat, objektif pengajaran dan analisis tugasan yang spesifik, realistik dan boleh dicapai sebelum aktiviti pembelajaran dan pengajaran bermula.  Sebagai contoh, guru akan mengajar kemahiran menambah dan menolak sesuai dengan aras murid yang lemah, sederhana dan tinggi.  Guru tersebut akan memperincikan tugasan yang telah dirancang dengan membantu murid aras sederhana dan lemah bagi menguasai kemahiran tersebut langkah demi langkah.  Manakala murid aras tinggi pula akan diberi latihan tambahan bagi memantapkan lagi kemahiran menambah dan menolak.  Hal ini sekaligus dapat membantu guru tersebut bagi mencapai objektif pembelajaran dengan lebih berkesan didalam pengajaran.

            Selain itu, bagi memastikan bagi pembelajaran akan menjadi lebih efektif, guru yang mengajar step by step, dan mengaplikasikan teknik peneguhan dan hukum kesediaan dengan betul semestinya berupaya meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran.  Kita ambil contoh seorang guru yang mengajar kemahiran menulis tulisan jawi.  Guru tersebut akan mengajar kemahiran dari sekecil-kecilnya seperti memegang pensel sehinggalah kemahiran yang lebih besar seperti boleh menghasilkan tulisan jawi dengan cantik dan kemas.  Kemahiran ini akan dapat dikuasai oleh murid sekiranya guru berjaya mencungkil rasa ingin tahu murid untuk belajar sepertimana yang terdapat dalam hukum kesediaan disamping menggunakan teknik peneguhan yang sesuai sama ada dalam bentuk pujian mahupun ganjaran dalam bentuk hadiah dan sebagainya sebagai menghargai hasil kerja murid.

            Seterusnya, saya melihat bahawa keberkesanan teori behavioris dapat dilihat apabila seseorang guru dapat mengaplikasikan hukum latihan, hukum kesan/akibat disamping menyediakan amalan disiplin bilik darjah yang kondusif.  Saya berikan satu contoh seorang guru yang menyediakan set latihan latih tubi yang banyak untuk muridnya dan memberi ganjaran bagi yang menjawab kesemua soalan dengan betul.  Hal ini bermakna, dia telah berupaya mengaplikasikan hukum latihan  dan hukum kesan/akibat dengan baik.  Tambahan pula, perkara ini dapat dimantapkan lagi apabila suasana bilik darjah menjadi lebih positif dengan adanya peraturan kelas dan juga budaya belajar yang baik dalam kalangan pelajar.


Aplikasi dan keberkesanan teori pembelajaran kognitif

Seterusnya kita beralih kepada teori pembelajaran kognitif yang mana sememangnya lebih menekankan kepada proses mental seperti penyelesaian masalah, ingatan dan bahasa.  Jadi, sejauh manakah kita melihat teori ini sebagai suatu teori yang berkesan yang boleh digunakan di dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah?
      
     Berkesannya teori ini dapat dilihat sekiranya seseorang guru berupaya mempersembahkan sesuatu maklumat umum tentang sesuatu topik sebelum masuk kepada maklumat yang lebih khusus.  Hal ini sangat perlu supaya murid boleh mengenal sesuatu konsep di dalam sesuatu topik.  Sebagai contoh, murid perlu memahami konsep jenis haiwan yang hidup di darat dan air sebelum mengenal haiwan tersebut sama ada berdarah panas atau sejuk.  Bagi mengukuhkan kefahaman murid, guru boleh mengaitkan pengetahuan sedia ada murid disamping mengimbas kembali topik pembelajaran yang lepas.  Hal ini penting bagi memastikan murid tersebut tidak tersalah dari segi konsep.  Dalam hal ini, guru perlulah membantu pelajar yang tidak ada pengetahuan terdahulu kerana ianya sangat berkait rapat dengan pelajaran yang baharu.
           
          Pada masa yang sama, guru kenalah bertindak sebagai pemudah cara kepada murid-murid untuk belajar.  Dalam hal ini guru tidak perlulah memberi tunjuk ajar seratus peratus.  Cukuplah sekadar menunjukkan jalan kepada mereka.  Contohnya, guru perlulah menyediakan segala alat, bahan dan sebagainya bagi membantu murid memahami konsep jisim dan berat sama ada ditunjukkan dalam bentuk gambar, simulasi, lakonan dan sebagainya.  Hal ini penting bagi memastikan mereka benar-benar boleh membezakan kedua-dua konsep tersebut.  Oleh itu, penggunaan bahan maujud sangat diperlukan bagi memudahkan penyampaian pengajaran guru di dalam mengajar murid.

            Selanjutnya, teori ini jelas membawa kepada keberkesanan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran apabila seseorang guru dapat mengintegrasikan maklumat baru yang dipelajari oleh murid, melalui perbandingan antara idea baru dengan idea lama.  Sebagai contoh, murid telah belajar mengenai konsep rumah, iaitu ada bilik, tandas dan sebagainya.  Kemudian murid telah belajar mengenai pangsapuri.  Konsep rumah tidak perlu diubah walaupun murid tidak pernah melihat pangsapuri.  Walaubagaimanapun, apabila guru memperkenalkan rumah igloo, konsep rumah perlu diubah kerana rumah juga boleh diperbuat daripada ais, tidak semestinya rumah diperbuat daripada simen dan kayu sahaja.  Jelaslah bahawa, jika guru berupaya memperkenalkan dan membantu murid membuat perbezaan dalam sesuatu konsep, hal ini dapat memastikan keberkesanan murid untuk mempelajari sesuatu topik yang bakal diajar pada masa akan datang.


Aplikasi dan keberkesanan teori pembelajaran konstruktivis

Berbeza dengan teori yang sebelum ini, teori pembelajaran konstruktivis ini mempunyai kelainannya yang tersendiri.  Pastinya ia membawa kepada suatu bentuk pendekatan yang berbeza dalam memantapkan lagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.  Namun sejauh manakah keberkesanannya?

            Teori pembelajaran konstruktivis akan menjadi lebih berkesan sekiranya seseorang guru berupaya memilih pelajar yang sudah menguasai sesuatu kemahiran dalam sesuatu topik untuk mengajar rakannya yang lain.  Contoh yang boleh diketengahkan disini ialah guru akan memilih beberapa orang pelajar yang sudah memahami dan menguasai topik pecahan dalam matematik kepada beberapa kumpulan untuk membimbing murid yang masih belum menguasai topik pecahan.  Pendekatan ini sebenarnya sangat membantu guru bagi mengukuhkan kemhiran murid.  Hal ini kerana, sesetengah murid mungkin malu atau takut untuk bertanya dengan guru sekiranya mereka tidak faham.  Sebaliknya, mereka akan lebih selesa apabila bertanya dengan rakan mereka sendiri.  Justeru, cara ini boleh dipraktikkan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah mengikut kesesuaian murid.

            Bukan itu sahaja, keberkesanan teori ini boleh dilihat sekiranya guru menggalakkan pelajar melaksanakan tugasan secara berkumpulan.  Hal ini bagi meluaskan pemikiran mereka disamping menggalakkan perbincangan supaya mereka dapat berkongsi pendapat dan idea yang pelbagai.  Misalnya, guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan kemudian menyuruh mereka mencari maklumat mengenai tempat bersejarah di Malaysia.  Perkara ini bukan sahaja menggalakan interaksi sesama mereka.  Malah, perkara ini akan menyebabkan mereka sentiasa berbincang berhubung dengan tugasan yang telah diberikan kepada mereka.  Maka, disinilah keberkesanan teori ini dapat dilihat apabila guru tersebut berupaya menjayakannya.

            Berikutan itu, jika seseorang guru dapat melaksanakan strategi pengajaran yang pelbagai seperti mengadakan debat antara kumpulan dan sebagainya, sebenarnya ia merupakan suatu usaha baik yang boleh dinilai sebagai sesuatu yang berkesan di dalam teori konstruktivis.  Sebagai contoh, guru memberikan pelbagai isu semasa sebagai topik perbincangan untuk dibahaskan didalam setiap kumpulan.  Hal ini dapat menggalakan murid untuk terlibat secara aktif bagi mengemukakan pandangan  masing-masing.  Malah, mereka turut belajar untuk mentafsir maklumat yang mereka terima dan membuat pertimbangan melalui perbincangan sesama mereka.  Jelaslah disini bahawa sememanya aktiviti seperti ini boleh membantu guru dalam aktiviti pengajaran di dalam bilik darjah.
          

Aplikasi dan keberkesanan teori pembelajaran sosial

Teori pembelajaran sosial yang dipelopori oleh Albert Bandura turut membawa kepada keberkesanannya dari segi pelbagai bentuk terutamanya dari segi sosial.  Pembelajaran melalui pemerhatian pastinya membawa impak yang positif dalam bilik darjah.  Namun, sejauh manakah teori ini boleh diaplikasikan didalam bilik darjah?

            Aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas akan menjadi lebih berkesan sekiranya seseorang guru tersebut menggalakkan pembelajaran melalui pemerhatian dan peniruan.  Contohnya, guru telah menjadikan seorang murid tahun enam yang aktif dalam kegiatan kokurikulum dan cemerlang dalam akademik sebagai model untuk dicontohi oleh para pelajarnya.  Perkara ini sebenarnya dapat memberi impak yang positif kepada mereka untuk lebih bermotivasi untuk melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum dan turut sama tidak lupa menyeimbangkan kecemerlangan dalam pelajaran.  Namun, guru tersebut perlu juga untuk menerangkan tingkah laku yang kurang sesuai atau tidak boleh diikuti, supaya murid tidak meniru sesuatu tingkah laku yang boleh membawa kepada perlakuan yang negatif, melanggar undang-undang dan sebagainya.

            Selain itu juga, penggunaan model sebenar seperti mana yang digalakkan dalam teori pembelajaran sosial adalah sangat membantu di dalam keberkesanan aktiviti modeling di dalam kelas.  Sebagai contoh, guru boleh membawa tukang kayu ke bengkel kemahiran hidup untuk menunjukkan cara menggergaji kayu dengan betul.  Pembelajaran pastinya akan menjadi lebih efektif kerana murid akan memerhatikan pengalaman secara langsung dan berupaya meniru kemahiran yang ditunjukkan oleh tukang kayu tadi.  Hal ini bukan sahaja memudahkan pengajaran di dalam bengkel tersebut.  Malah, pembelajaran akan menjadi lebih seronok dan pastinya dengan suasana yang sedemikian akan menimbulkan minat murid untuk belajar dengan lebih berkesan.

            Tambahan pula, satu kebiasaan guru yang memang wajar dipuji apabila seseorang guru mempamerkan hasil kerja murid yang mendapat gred A dibelakang kelas didalam memastikan aktiviti modeling boleh berlaku didalam kelas.  Sebagai contoh, hasil kerja murid yang mendapat A terutamanya dalam subjek pendidikan seni dipaparkan dibelakang kelas.  Dalam hal ini, murid-murid lain yang belum membuat hasil kerja yang cantik pasti akan lebih teransang untuk turut sama membuat hasil kerja yang terbaik supaya hasil kerja mereka boleh dipamerkan.  Hal ini semestinya akan mewujudkan pembelajaran yang lebih berkesan kerana setiap murid akan berlumba-lumba dan berusaha kearah menghasilkan setiap tugasan dengan bersungguh-sungguh.  Semestinya keberkesanan aktiviti modeling ini dapat dilihat menerusi peranan guru yang melaksanakan aktiviti seperti ini didalam kelas.


Aplikasi dan keberkesanan Teori pembelajaran humanis

Teori pembelajaran Humanis turut memainkan peranan yang penting di dalam memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah menjadi lebih berkesan.  Pendekatan humanis yang dilihat sebagai kuasa ketiga dalam bidang psikologi adalah sangat sangat menarik untuk diaplikasikan oleh guru. Namun, sejauh manakah keberkesanannya?

            Seorang guru yang dapat mengesan keadaan dan situasi murid-muridnya yang mempunyai pelbagai keperluan yang harus dipenuhi adalah bertepatan dengan teori humanis bagi menjadikan pembelajaran menjadi lebih efektif.  Sebagai contoh, ada pelajar yang belum bersarapan atau mengantuk didalam kelas.  Apabila guru boleh menghidu situasi murid yang sebegini, guru tersebut perlu memberi ruang untuk murid makan dan juga memberi masa untuk murid yang mengantuk untuk tidur sekejap.  Hal ini bukan sahaja akan meningkatkan mood untuk murid belajar.  Malah, ia akan menjadikan murid lebih menumpukan kepada aktiviti pembelajaran yang berlangsung didalam kelas.

            Disamping itu, guru perlulah mengajar dengan berfokuskan kepada pelajar, bukannya mengajar subjek yang diajar semata-mata.  Dalam hal ini, keperluan pelajar haruslah diutamakan.  Jika hal ini dilakukan, pastinya proses pembelajaran akan menjadi lebih berkesan.  Guru bertanggungjawab supaya memberikan kefahaman kepada pelajar sebaik mungkin.  Sebagai contoh, guru sains mengajar mengenai planet di alam semesta.  Guru harus mengenalkan murid kepada planet supaya murid tahu, bukannya menyampaikan apa yang guru tahu mengenai planet sehingga murid tidak faham apa yang diajar oleh guru.  Perkara ini haruslah disedari oleh semua guru supaya murid boleh menerima pengajaran guru dan seterusnya supaya keberkesanan murid untuk belajar topik yang akan datang akan menjadi lebih mudah.

            Akhir sekali, teori humanis dapat dilihat keberkesanannya melalui tindakan guru yang sentiasa menjadi contoh teladan yang baik kepada muridnya.  Sebagai contoh, setiap pagi akan ada kelas yang bertugas untuk memungut sampah.  Guru yang bertugas untuk memantau para pelajar boleh menunjukkan contoh yang baik dengan turut sama bersama para pelajar memungut sampah.  Hal ini bukan sahaja menimbulkan rasa percaya pelajar terhadap guru.  Malah, ianya dapat memupuk tabiat suka menjaga kebersihan dalam kalangan pelajar dan guru.  Haruslah diingatkan bahawa, seorang guru bukanlah mengajar akademik dan kokurikulum sahaja.  Guru juga turut sama bertanggungjawab membentuk sahsiah, akhlak dan peribadi pelajar agar boleh berketrampilan mulia di dalam kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment